Cetak

FAQ Cukai Petak Negeri Sembilan.

 

  1. Apa itu skim strata?

Skim strata adalah suatu projek pembangunan di mana blok-blok bangunan bertingkat atau plot tanah dipecah bahagi kepada petak-petak utama, petak aksesori dan harta bersama di dalam satu hakmilik. Antara contoh skim strata di Negeri Sembilan adalah Terminal One, Kalista, D’cattleya, Grand Lexis dan Mesa Mall.

  1. Apa itu hakmilik strata?

Hakmilik strata merupakan suatu dokumen hakmilik yang dikeluarkan kepada pemilik unit/petak di dalam suatu skim strata. Ia merupakan dokumen seperti hakmilik tanah dan boleh diurusniagakan.

  1. Apa itu petak utama?

Petak utama adalah petak yang didaftarkan mengikut syarat nyata asal tanah sebelum dipecah bahagi kepada petak. Antara jenis petak utama adalah seperti rumah kediaman dan ruang perniagaan.

  1. Apa itu petak aksesori?

Petak aksesori adalah petak selain petak utama yang digunakan secara eksklusif oleh pemilik petak hakmilik strata seperti parkir khas untuk pemilik, kotak bunga dan ruang penyaman udara (yang terletak diluar daripada unit).

  1. Apa itu “harta bersama”?

Harta bersama pula adalah semua bangunan atau kemudahan (selain dari petak utama dan aksesori) yang ada di dalam suatu komuniti strata, namun tidak dimiliki oleh pemilik petak. Contohnya seperti dewan, lif, tangga, taman permainan, tempat letak kereta pelawat, pondok pegawai keselamatan dan sebagainya. Semua harta tersebut boleh digunakan secara bersama dengan semua pemilik-pemilik petak.

  1. Apa itu cukai petak?

Cukai petak ialah cukai yang dikenakan ke atas setiap hakmilik strata, bagi menggantikan pengenaan cukai tanah. Ianya bukan cukai tambahan ke atas cukai tanah yang sedia ada sebaliknya menukarkan cukai tanah kepada cukai ke atas pemilik petak.

  1. Siapa perlu bayar cukai petak?

Cukai petak perlu dibayar oleh pemilik petak. Sekiranya sesuatu petak masih belum dipindahmilik daripada pemaju kepada pembeli, pembeli masih bertanggungjawab menjelaskan cukai tersebut kerana pemaju tidak mempunyai tanggungjawab membayar cukai setelah pemilikan kosong “vacant possession” diserahkan kepada pembeli.

  1. Bila cukai petak akan dikuatkuasakan?

Cukai petak akan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 2021.

  1. Bagaimana bil cukai petak akan disampaikan kepada pemilik petak?

Bil cukai petak akan disampaikan melalui perkhidmatan pos. Namun, sekiranya bil tidak sampai, pemilik petak boleh hadir di mana-mana pejabat tanah di Negeri Sembilan untuk mendapatkannya. Ini kerana, adalah menjadi tanggungjawab pemilik petak untuk membayar cukai petak pada setiap tahun.

  1. Bila cukai petak perlu dibayar?

Cukai petak perlu dibayar sebelum atau pada 31 Mei setiap tahun. Sekiranya bayaran lewat dibuat, denda sebanyak 5% akan dikenakan.

  1. Dimanakah bayaran cukai petak boleh dibuat?

Bayaran boleh dibuat di mana-mana kaunter hasil Pejabat Tanah dan Daerah seluruh Negeri Sembilan atau di kaunter hasil Pejabat Tanah dan Galian NS.

  1. Mengapa cukai petak dilaksanakan di Negeri Sembilan?

Tujuan utama cukai petak dilaksanakan adalah untuk menyelesaikan isu urusan ke atas petak yang tidak boleh dibuat sebelum ini. Urusan seperti pindahmilik dan gadaian tidak boleh dibuat kerana terdapat tunggakan cukai tanah suatu skim strata. Dengan pelaksanaan cukai petak ini, setiap petak tidak lagi tertakluk kepada cukai tanah induk, sebaliknya tertakluk kepada cukai petak masing-masing bagi melakukan sebarang urusan. Selain itu, cukai yang dibayar oleh pemilik petak juga akan terus diterima oleh Pejabat-pejabat Tanah tanpa melalui Perbadanan Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama seperti sebelum ini.

  1. Adakah pemilik petak akan dikenakan tunggakan pada tahun pertama pelaksanaan cukai petak?

Tunggakan cukai hanya dikenakan kepada petak-petak yang cukai tanah hakmilik induknya tertunggak sahaja. Kadar pengenaan tunggakan adalah berdasarkan nisbah luas sesuatu petak kepada jumlah luas keseluruhan petak di dalam suatu skim strata tersebut.

  1. Adakah pemilik petak masih dikenakan tunggakan walaupun telah membuat bayaran kepada Perbadanan Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama?

Ya. Semua petak di dalam suatu skim strata yang mempunyai tunggakan cukai tanah hakmilik induk akan dikenakan tunggakan. Walaubagaimanapun, pemilik petak boleh menuntut semula jumlah bayaran yang telah dibayar, daripada Perbadanan Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama.

  1. Adakah pemilik petak masih perlu membayar cukai taksiran?

Ya. Cukai taksiran (cukai pintu) masih perlu dibayar kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Cukai ini berbeza dari cukai petak/tanah.

  1. Apa itu kumpulan wang caruman?

Kumpulan wang caruman merupakan suatu dana yang diuruskan sepenuhnya oleh Perbadanan Pengurusan (MC) bagi maksud menyelenggara bangunan, membayar premium insuran kebakaran serta lain-lain caj yang berkenaan dengan pengurusan bangunan. Setiap pemilik petak adalah wajib untuk mencarum kepada kumpulan wang caruman ini.

  1. Adakah pemilik petak wajib membayar cukai taksiran, cukai petak dan kumpulan wang caruman secara berasingan?

Ya. Ini kerana ketiga-tiga perkara tersebut adalah fi yang berlainan.

Cukai taksiran atau cukai pintu adalah cukai yang dikenakan kepada semua pegangan atau hartanah berkadar yang ada di kawasan pentadbiran sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan. Cukai taksiran dibayar kepada Majlis-majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya di Negeri Sembilan.

Cukai petak pula adalah cukai yang menggantikan cukai tanah. Cukai ini dibayar kepada Kerajaan Negeri Sembilan melalui Pejabat-pejabat Tanah di Negeri Sembilan.

Manakala kumpulan wang caruman pula adalah kumpulan wang yang dikenakan kepada semua pemilik petak bagi pengurusan sesuatu skim strata. Fi ini perlu dibayar kepada Perbadanan Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama sesuatu skim strata.

  1. Apakah kesan sekiranya cukai petak gagal dijelaskan?

Sama seperti cukai tanah, sekiranya cukai petak gagal dijelaskan, hakmilik bagi petak berkenaan akan dikenakan tindakan pelucuthakan kepada pihak berkuasa negeri. Pemilik petak tidak lagi mempunyai apa-apa hak ke atas hakmilik tersebut.

  1. Apakah kesan ke atas pelucuthakan tersebut?

Petak yang telah dilucuthak tersebut akan kembali kepada Pihak Berkuasa Negeri. Pihak Berkuasa Negeri boleh berimilik semula petak tersebut kepada mana-mana orang atau badan yang membuat permohonan memiliki petak tersebut termasuk pemilik asal sebelumnya dengan dikenakan bayaran premium.

  1. Apakah perbezaan antara Badan Pengurusan Bersama (JMB) dengan Perbadanan Pengurusan (MC)?

Badan Pengurusan Bersama (JMB) diwujudkan apabila terbukanya daftarai strata dan hakmilik-hakmilik strata dikeluarkan di atas nama pemaju. Pembeli-pembeli petak strata adalah bertanggungjawab untuk bersama-sama pemaju menjalankan pengurusan bangunan. Pemaju juga masih ada “kerusi” di dalam JMB dimana pemaju berhak memberi nasihat, mengemukakan undi dan membuat keputusan ke atas pengurusan dan penyelenggaraan bangunan. Pembeli juga wajib untuk mencarum kepada kumpulan wang caruman yang diuruskan oleh pemaju pada peringkat ini.

Perbadanan Pengurusan pula wujud setelah hakmilik-hakmilik strata yang telah dikeluarkan dipindahmilik kepada pembeli. Pembeli, setelah diberimilik hakmilik strata secara rasmi menjadi pemilik petak strata berkenaan, dan diberi satu “kerusi” di dalam MC. MC merupakan suatu badan korporat yang wujud menurut kuasa Seksyen 17 Akta Pengurusan Strata. MC mempunyai meterai atau “common seal” dan boleh didakwa atau mendakwa. Ianya tidak perlu didaftarkan dengan pendaftar syarikat atau pendaftar pertubuhan. MC bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengurusan dan penyelenggaraan bangunan, pengurusan rekod dan pengurusan kumpulan wang caruman.